Iklan Leaderboard

Jumaat, 1 Julai 2016

4 Antara pluralisme agama dan toleransi agama

Pluralisme agama.

Apa itu pluralisme agama? Pluralisme agama merupakan konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai. Antara fahaman ini adalah:
  • Tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain.
  • Penerimaan kebenaran wujud dalam dua atau lebih agama dengan penekanan aspek-aspek yang diterima oleh agama-agama tersebut.
  • Menggalakkan kerjasama dan dialog antara agama-agama yang berbeza bagi meningkatkan persefahaman.
  • Digunakan sebagai istilah untuk merujuk kepada keadaan hidup bersama secara harmoni di antara penganut agama yang berbeza.


Terdapat banyak agama di seluruh dunia. Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan sebagainya. Di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik dalam masyarakat majmuk turut mempunyai pelbagai penganut agama dengan komposisi  terbesar adalah agama Islam, diikuti dengan agama Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

Sebagai orang Islam, kita tiada masalah dengan penganut agama lain. Mereka berhak mengamalkan apa jua ajaran agama mereka dan kita harus hormat itu. Kita tidak boleh mencela dan mengeji kepercayaan agama lain seperti mana dalam surah Al-An'aam ayat 108;
"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."

Kita juga tidak boleh mencampuri urusan agama mereka, dan mereka juga tidak boleh mencampuri urusan agama kita, seperti mana yang terkandung dalam surah Al-Kafirun ayat 6;
"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku". 
Maka jika dalam agama mereka ada ajaran yang baru dicipta, atau ada ajaran yang sesat dalam agama mereka, kita tidak boleh campur, itu hal mereka, dan mereka juga wajar untuk tidak mencampuri urusan agama Islam. Mereka bebas mengamalkan ajaran agama mereka dan kita bebas mengamalkan ajaran agama kita.

Orang Islam dan penganut agama lain boleh hidup bersama-sama dalam sebuah masyarakat yang harmoni adalah disebabkan sikap toleransi, respek, hormat menghormati, empati dan nilai moral yang kita semua seharusnya ada. Kita juga harus menghormati antara satu sama lain sebagai seorang manusia. Semua orang mempunyai hak sebagai seorang manusia walaupun berbeza agama. Hal ini kita panggil toleransi agama. Itu sahaja dan kita akan hidup dengan aman damai sebagai sebuah masyarakat.


Namun bagi orang Islam, walaupun kita menerima dan menghormati agama lain, namun bukan bermakna kita membenarkan kepercayaan mereka dalam hati kita. Orang Islam perlu tahu dan yakin yang Tuhan itu satu iaitu Allah s.w.t, dan Tuhan ini bukan hanya Tuhan buat orang Islam sahaja tetapi seluruh umat manusia di seluruh bumi ini walaupun mereka bukan beragama Islam. Itu kita harus faham.

Sebagai contoh, apabila anak kita bertanyakan kepada kita, kenapa ada orang itu dia sembah patung, maka kita tak boleh jawab, "Sebab patung itu Tuhan dia, Tuhan kita Allah." Jawapan ini salah, kerana Tuhan kita dan Tuhan dia adalah sama, iaitu Allah Yang Esa. Jika kita cakap patung itu Tuhan dia, seolah-olah kita sudah membenarkan yang Tuhan itu ada banyak bergantung kepada penganut suatu agama.

Kita boleh bagi jawapan seperti ini, "Tuhan dia dan kita semua adalah Allah, cuma dia tidak tahu dan percaya ada Tuhan yang lain selain Allah. Kita boleh tunjuk akhlak Islam agar dia tertarik untuk mendekati dan mengenali Tuhan yang sebenar, dan berdoa agar dia diberi hidayah oleh Allah."

Sebagai umat Islam, kita perlu hormat kepada kepercayaan agama lain dan tidak boleh menghina agama lain, namun jangan sesekali membenarkan kepercayaan mereka di dalam hati kita kerana ia melibatkan akidah. Kita harus percaya dan yakin bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan Allah itu satu-satunya Tuhan yang sebenar, bukan mana-mana objek, bukan mana-mana manusia, bukan Firaun, bukan Zeus, bukan Hades dan sebagainya.

Maka sebab itu kita tidak boleh menerima konsep pluralisme agama, kerana ideologi ini menekankan semua agama adalah sama rata sahaja. Ideologi ini menganggap semua agama itu benar mengikut kepercayaan masing-masing. Semua agama sembah Tuhan masing-masing, selepas mati semua akan masuk syurga atau neraka mengikut Tuhan masing-masing. Kita tidak boleh terima konsep ini kerana boleh menjejaskan akidah kita.

Namun walaupun kita tidak menerima ideologi pluralisme agama, tidak semestinya kita tidak boleh menghormati kepercayaan agama lain. Tanpa ideologi pluralisme agama itu pun, kita memang wajib hormat kepercayaan penganut agama lain sebab memang itu yang Allah suruh dalam Al-Quran. Bukan pluralisme agama yang kita perlu tetapi toleransi agama.

Semoga selepas ini tiada lagi orang Islam yang menyokong dan memperjuangkan pluralisme agama, lebih-lebih lagi dari kelompok Melayu Liberal. Baca juga artikel "Pluralisme produk liberalisme" ini.

* Artikel ini ditulis hanya untuk ditujukan kepada orang Islam sahaja.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: religious pluralism pluralisme agama maksud definisi dalam islam bahaya liberal 

4 ulasan:

  1. well said....
    oh yeah......

    BalasPadam
  2. Orang ramai pandang agama sebagai 'freedom of choice' iaitu kebebasan memilih, sedangkan agama adalah 'way of life' iaitu gaya hidup.
    Kalau kita jadikan agama Islam sebagai way of life, tak ada isu bergaduh dgn agama lain sebab dalam islam sendiri melarang membenci sesama manusia walaupun berlainan agama.

    BalasPadam
  3. baru nak buka puasa dengan bukan islam, dah kena report polis.
    only in semenanjung.
    -meleis paranoid

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...