Iklan Leaderboard

Selasa, 31 Januari 2017

1 Buku komik tempatan tiada klasifikasi dan tapisan

Karya.

Mengikut kamus dewan, karya itu bermaksud kerja/tugas; dan juga buatan atau ciptaan, terutama dalam bidang seni dan sastera. Karya itu sinonim dengan karya sastera seperti puisi, sajak, syair, pantun, karya seni seperti lukisan, rekaan, model, karya cetak seperti buku novel, cerpen, komik, biografi, karya rakaman seperti filem, drama, lagu, permainan video dan sebagainya. Sebuah karya itu biasanya melibatkan daya kreativiti untuk menciptanya.

Karya ini juga banyak kategorinya, antaranya karya ilmiah, fiksyen, bukan fiksyen, dakwah, seram, ganas, radikal, cinta, lucah dan sebagainya. Karya-karya ini juga biasanya dikategorikan mengikut kesesuaian umur yang dipanggil sistem penarafan/pengkadaran/pengelasan (rating system) atau sistem penapisan (censorship system) seperti untuk kanak-kanak bawah 13 tahun, remaja, atas 18 tahun, karya dewasa dan sebagainya.


Gambar hiasan

Seperti contoh, filem dan rancangan televisyen di Malaysia menggunakan sistem pengelasan U (Umum), P13 (Kanak-kanak bawah 13 tahun dibolehkan dengan ditemani penjaga), dan hanya untuk tontonan 18 tahun ke atas iaitu 18SG (Seram, Ganas), 18SX (Kandungan seksual), 18PA (Politik, Agama) dan 18PL (Pelbagai).

Permainan video juga mempunyai sistem pengkadarannya yang tersendiri, antaranya adalah sistem penarafan ESRB yang digunapakai oleh negara US. Antara penarafannya adalah Everyone, Everyone 10+, Early Childhood, Teen, Mature dan Adults Only. Sistem penarafan ini digunakan sebagai panduan untuk mengelakkan kanak-kanak membeli dan bermain permainan video yang mengandungi keganasan melampau, jijik, seksual, lucah dan sebagainya.

Bagi bahan bercetak seperti buku novel, biografi, komik dan sebagainya juga terdapat sistem penarafan tertentu mengikut negara, namun ada juga yang langsung tiada sistem penarafan seperti di negara kita, lebih-lebih lagi buku komik. Mungkin kerana ramai orang dan ibu bapa di Malaysia ingat asal komik dan kartun sahaja, ia adalah untuk kanak-kanak maka tak perlulah nak dikisahkan sangat.

Namun yang sebenarnya buku komiklah yang paling perlu diberi klasifikasi kerana ia lebih mudah menarik minat kanak-kanak untuk membeli dan membacanya berbanding buku yang mengandungi teks dan tulisan sahaja. Sebuah buku novel setebal 400 mukasurat mungkin ada dua tiga babak yang agak lucah tetapi sudah pasti kanak-kanak tidak akan berminat untuk membeli apatah membacanya. Akan tetapi sebuah buku komik yang ada watak kartun comel belum tentu ceritanya adalah untuk kanak-kanak.

Sebab itu di negara seperti US dan Jepun ada sistem pengkadaran bagi komik, malah kartun kat TV tu pun ada penarafannya. Seperti contoh, komik Marvel menggunakan sistem penarafan mereka sendiri seperti ALL AGES, T, T+ TEEN AND UP, PARENTAL ADVISORY dan MAX: EXPLICIT CONTENT.

Komik dan anime Jepun pula biasanya dipecahkan mengikut demografi umur seperti Kodomomuke (Kanak-kanak), Shonen (Remaja lelaki), Shojo (Remaja perempuan), Seinen (Lelaki dewasa) dan Josei (Wanita dewasa), malah ia juga dikategorikan mengikut genrenya. Jika ia mempunya genre Adult, Ecchi, Hentai, maka kita dah tahu yang ia langsung bukan untuk kanak-kanak.

Malangnya di kedai buku di Malaysia, aku banyak kali perasan buku komik untuk pembaca matang dan dewasa banyak kali diletakkan di rak dan seksyen yang sama dengan komik kanak-kanak yang lain. Mungkin pemilik kedai buku tu pun tak tahu yang buku komik tu bukan untuk bacaan kanak-kanak, atau mungkin dia tak tahu yang tak semua buku komik itu semata-mata untuk kanak-kanak.

Tahun lepas, sebuah buku komik berjudul "Bro Don't Be Like That La Bro #2 - My Bad Bromance" telah ditarik balik dan tidak lagi dijual di semua cawangan kedai buku Popular di Singapura dan Malaysia berikutan terdapat aduan daripada ibu bapa yang melaporkan terdapat kandungan yang agak lucah dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.


Aku sendiri secara jujurnya tidak suka dengan buku komik yang mengandungi kata-kata kesat, lawak kotor, lucah, menjijikkan, yang bertentangan dengan adab moral, norma masyarakat, budaya dan agama, lebih-lebih lagi komik yang dibuat oleh orang Malaysia sendiri, apatah lagi orang Melayu Islam. Orang luar yang buat aku boleh terima lagi, tapi bukan orang yang sebangsa dan seagama denganku.

Bagi aku karya yang bertaraf matang itu seharusnya mengisarkan topik yang ilmiah dan berat yang tidak difahami oleh kanak-kanak seperti politik, ideologi, kritikan sosial, kemanusiaan, perjuangan, sejarah dan sebagainya, bukan sekadar lucah, mencarut dan lawak kotor sahaja. Kalau itu sahaja yang kita mampu buat bagi sebuah bacaan matang, maka ia tidaklah sematang mana pun.

Tapi yelah, kita nak larang orang lain jangan buat nanti orang marah. Kebebasan berkarya katanya. Paling tidak pun kita cuma mampu bagi nasihat, tapi kalau mereka tetap nak buat juga, kita pun tak boleh buat apa. Jangan kata komik, buku novel, filem, drama, semua bebas nak buat apa, ikutkan sangat fantasi khayalan sampah dan acuan barat. Hukum hakam, batasan agama, semua campak ke laut. Pihak berkuasa pun bukan nak ambil kisah sangat. Asal tak bogel, tak sampai tahap jimak, semua boleh.

Cuma apa yang aku harapkan adalah agar diwujud dan dikuatkuasakan sistem tapisan dan klasifikasi bagi buku bercetak terutama bagi komik kerana sekurang-kurangnya ibu bapa boleh tahu dan mempunyai pilihan buku komik apa yang sesuai untuk bacaan anak-anak mereka. Malah asingkan juga kedudukan komik kanak-kanak dan juga komik dewasa di kedai-kedai buku, jangan lambakkan je dalam satu rak yang sama. Kat luar negara pun mereka asingkan tau, takkan kita selamba je letak sekali sebelah-sebelah?

Ya, kita tak boleh halang anak orang lain rosak, kita juga tak boleh halang orang lain yang boleh  merosakkan pemikiran kanak-kanak, apa yang kita ada hanya pilihan untuk menghalang anak-anak kita daripada dirosakkan pemikirannya.

Baca juga artikel berkaitan:

P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (Awakening). Klik pada gambar di bawah untuk maklumat lanjut. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:


Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

http://buasirotak.blogspot.com/2016/11/buasir-otak-komik-awakening.html



tags: sistem penarafan tapisan komik buku novel filem drama rancangan tv rating system karya

1 ulasan:

  1. Ok...idop lagii kerr industri komik malaysia nii..suam2 saja..🐔😋😥

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...