Isnin, 2 April 2018

4 10 salah faham terhadap bidang Komputer dan ICT

Bila sebut belajar jurusan sains komputer, kejuruteraan komputer, IT, ICT atau yang sewaktu dengannya, aku berani jamin, mesti akan berlaku salah faham daripada orang biasa. Dah 20 tahun sejak aku ceburkan diri dalam komputer, aku dah masak sangat dengan skrip-skrip salah faham orang luar tentang bidang ini. Tanyalah pada mana-mana pelajar atau orang yang bekerja dalam bidang berkaitan pengkomputeran, mesti akan akui perkara yang sama.

Berikut adalah maklumat untuk korang yang minat bidang komputer dan panduan bagi pelajar lepasan SPM yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang ini.


1. Belajar komputer ni mesti budak nerd, spek tebal

Ini tanggapan paling famous ramai orang terhadap budak yang ambil jurusan berkaitan komputer, mereka mesti dari golongan nerd, skema, pakai cermin mata tebal, perwatakan macam Bill Gates atau Steve Jobs, sebab orang komputer ni memang dah biasa digambarkan dengan perwatakan seperti itu di media cetak dan elektronik.

Ya, mungkin sebahagian je macam tu, tapi senerd-nerd diorang pun, boleh je bekerja, cari duit, ada awek, bekeluarga, malah silap-silap boleh jadi kaya, macam Bill Gates.


2. Belajar IT tahu semua benda yang berkaitan dengan komputer

Asal orang tu belajar komputer, belajar IT, orang lain akan rasa yang dia mesti tahu segala-galanya yang berkainta dengan komputer. Asal kawan jumpa, minta tolong formatkan laptop. Pergi rumah jiran, jiran minta tengokkan modem Unifi dia. Jumpa sedara mara, diorang tanya pasal gajet terkini. Jumpa adik beradik, diorang mintak tolong baiki printer.

Memang kita ini budak IT, tapi tak semestinya semua benda pasal komputer kita tahu. Pernah dengar pengkhususan?

Macam jurusan lain juga, contohnya jurusan kejuruteraan ada mekanikal, awam, kimia, elektrik, elektronik, robotik dan sebagainya, jurusan perubatan ada anatomi, biokimia, farmakologi, fisiologi, obstetrik, ginekologi, patologi, pediatrik, radiologi, surgeri dan sebagainya, sama lah macam jurusan komputer juga, ada sistem komputer, pembangunan perisian, pangkalan data, pengurusan komputer, rangkaian dan lain-lain lagi.

Kalau orang IT kena tahu semua benda pasal IT dari A ke Z, memang boleh buasir otak la memikirkannya.

3. Belajar komputer tak ada masa depan kerjaya

Memang tak dinafikan graduan komputer memang sangat ramai dilahirkan setiap tahun, tapi siapa cakap tiada masa depan kerjaya? Banyak je syarikat yang menawarkan karier berkaitan IT di tempat kerja mereka. Malah dengan kemajuan teknologi IT yang semakin maju dan berkembang pesat, syarikat sentiasa memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran dan skill komputer terkini.

Ya, mungkin peluang pekerjaan sentiasa ada, namun persaingan juga lebih sengitlah kerana lambakan graduan IT di negara kita, tambah lagi nak kena bersaing dengan pakar-pakar IT yang diimport dari luar negara. Sebab tu nasihat tipikal aku, tak kira lah kursus apa yang kau ambil, dapat pointer CGPA 3 dan ke atas adalah kemestian kalau nak bersaing. Tapi kalau tak dapat kerja pun, orang IT sentiasa mempunyai peluang yang besar untuk membuat start-up, bekerja sendiri atau buat freelance.

4. Budak sains komputer mesti hebat buat design

Memang budak komputer ni memang rajin explore macam-macam software yang ada termasuklah perisian design seperti Adobe Photoshop, Illustrator, Flash dan sebagainya, tetapi biasanya kami ni sekadar pandai guna sahaja perisian itu namun tidak semestinya pandai buat design, sebab nak buat design ni memerlukan bakat dan daya seni kreatif. Sebab tu ada jurusan seni grafik, rekabentuk web dan sebagainya.

Tapi kalau tak kisah nak buat design yang asal boleh je, ya kami memang boleh buat.

5. Kau budak IT? Boleh tolong hack FB mamat tu?

Ni satu lagi tanggapan orang yang agak popular. Asal belajar komputer je, mesti pandai hack, mesti seorang hackers. Tahukah anda kat universiti tak diajar pun cara-cara nak hack Facebook ke, hack website ke. Malah ada je budak IT yang FB dia sendiri kena hack. Kalau belajar pun yang ambil pengkhususan keselamatan komputer, itu pun lebih kepada ajar macam mana cara nak tingkatkan tahap keselamatan IT dari kena hack.

Tapi tak dinafikan kami mungkin pernah explore dan cuba belajar-belajar cara nak godam website, crack software dan sebagainya, tapi biasanya sekadar level script kiddies je, bukan hackers betul-betul pun. Biasa hackers ni diorang bukan belajar komputer melalui pendidikan formal pun. Biasanya diorang dah belajar komputer sejak kecil, dan semua kemahiran hackers diorang belajar sendiri, belajar dari hackers yang lain atau melalui pengalaman.

6. Kau kan budak komputer mesti kaki main game dan kaki anime

Biasanya orang yang kaki main game ni memang cenderung untuk ambil jurusan berkaitan komputer, tapi bukan semua kaki game mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang komputer, dan bukan semua orang yang ambil bidang komputer berasal dari kaki game. Ada je kaki game yang nak belajar jurusan lain, ada je orang yang ambil jurusan komputer tak suka main game, mungkin sebab mereka memang minat komputer, minat buat programming, atau itu je antara kursus yang diorang layak ambil masa isi borang UPU.

Bab kaki anime tu, memang biasa jumpa orang yang kerja atau belajar bidang komputer suka tengok anime atau baca manga, salah satu sebabnya kerana mudahnya mereka nak mengakses bahan-bahan berkaitan di Internet, tapi ada je orang IT yang minat benda lain selain anime seperti bola sepak, memancing, muzik dan sebagainya.

Mungkin juga mereka sering dikaitkan dengan kaki anime kerana perwatakan yang digambarkan untuk orang komputer dan otaku anime ni lebih kurang sama iaitu nerd, pakai spek tebal, suka berkurung dalam bilik, banyak habiskan masa depan skrin, gemuk dan sebagainya, sedangkan tak semua pun macam tu.


7. Belajar sains komputer mesti pandai buat game

Jangan kata game, nak buat website pun bukan semua budak komputer tahu buat. Memang la ramai budak IT suka main game, tapi buat game tu agak-agak la. Kalau ramai budak komputer pandai buat game, dah lama Nintendo, Square-Enix, EA, Valve, Blizzard dan lain-lain syarikat game bungkus.

Nak buat game sendiri atau kerja sebagai pembangun permainan video/komputer? Bukan ambil kursus sains komputer atau IT, tapi ambil jurusan game design, game development dan sebagainya. Tak pasti jika ada universiti awam tempatan yang tawarkan kursus ni, tapi banyak universiti swasta dan universiti luar negara yang tawarkan.

8. Orang IT mesti gaji besar, selalu buat freelance lagi.

Gaji orang IT ni nak kata besar, ada ya ada tidak, bergantung kepada jawatan, kemahiran, pengalaman, pengkhususan dan sebagainya. Oleh kerana cabang IT ni banyak, maka gaji juga berbeza-beza mengikut cabang. Dari segi pengkhususan, purata gaji bagi software engineer lebih tinggi dari network engineer dan software developer. Malah kalau jadi software expert/specialist/expert suatu sistem atau perisian tertentu, biasanya gaji lagi tinggi, seperti perisian SAP, Microsoft, Cisco dan sebagainya. Kalau ada sijil kepakaran atau certification lagi boleh demand gaji tinggi.

Sumber Payscale.

Baca juga artikel ini - Gaji mengikut jenis kerjaya dalam bidang ICT

Tapi bab freelance tu, tak semua orang IT buat freelance, malah ada yang tak suka dan tak pernah buat freelance pun. Memang la kami ni kerja IT, tapi tak bermakna kami asyik nak menghadap IT tu 24 jam sampai nak kena buat freelance bagai. Kerja hakiki pun dah pening kepala berlambak-lambak nak kena buat, ni nak kena buat freelance lagi waktu malam atau hari minggu.

Yang buat freelance tu biasanya sekadar nak cari duit lebih, itu pun bukannya selalu, bergantung kepada projek. Kami pun ada kehidupan macam orang lain juga, ada keluarga, ada hobi, ada kawan, ada macam-macam aktiviti yang mahu dilakukan di masa lapang.

9. Oh orang komputer? Ni mesti anti sosial tak campur orang.

Memang kami selalu kerja dengan mesin, dan kami lebih suka kerja dengan mesin berbanding manusia sebab mesin ni tak banyak komplen dan kecaman, manusia ni ada macam-macam perangai dan ada je karenahnya, tapi tak bermakna kami anti sosial dan tak suka bercampur dengan orang.

Walaupun tak dinafikan orang IT ni kebiasaannya ramai yang intovert berbanding extrovert, tapi kami tak makan orang. Kalau orang ajak berbual, kami layan je. Kalau orang ajak main futsal, kami main je. Kalau orang buat aktiviti pejabat, kami join je. Anti sosial atau tidak bergantung personaliti seseorang, bukan kerjaya dia.

10. Belajar komputer? Pening la kena belajar programming. Nanti kena jadi programmer lah?

Tidak semestinya ambil bidang komputer kena belajar programming. Mungkin ada subjek asas pengaturcaraan, tapi cuma asas je tak susah mana pun. Kalau tak nak belajar programming sangat kena ambil pengkhususan selain yang berkaitan dengan pembangunan sistem, contohnya rangkaian dan komunikasi komputer, pangkalan data, pengurusan IT, sistem komputer, teknikal komputer dan sebagainya. Ini kau minat ambil kursus AI (Artificial Intelligence) tapi tak nak belajar programming dah macam mana nak datang kepintaran buatan tu?

Kalau ambil pengkhususan yang berkaitan pembangunan sistem, biasanya memang end-up akan jadi programmer atau system developer. Kalau ambil pengkhususan lain, bolehlah jadi network administrator, database administrator, system administrator, software specialist, IT consultant dan sebagainya. Paling tidak pun boleh mohon jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (PTM) atau Pegawat Tadbir dan Diplomatik (PTD) kat gomen.

Tapi kalau dah ambil bidang IT tapi dah tak minat nak kerja sangat dalam bidang IT, buat je la apa-apa kerja lain asalkan halal dan toyyibah. Ada je orang yang dulu belajar IT sekarang buka kedai dobi layan diri, ambil tempahan katering, buka kedai smartphone, jual nasi lemak, jadi pemandu uber/grab sepenuh masa, jadi cikgu sekolah atau tadika, jadi admin page FB rembat artikel dan content orang lain tak bagi kredit lepas tu buat paid review mahal nak mampus serta pelbagai lagi kerja-kerja lain yang takde kena mengena sangat dengan IT.


Baca juga artikel-artikel lain yang berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: salah faham bidang sains komputer ict it pakar pekerjaan jurusan kursus course degree belajar programming universiti kerjaya kerja

4 ulasan:

  1. Ok..Apa pun alasan dlm berkerja buat jerr yg terbaikk..💨💨💦😿

    BalasPadam
  2. Yang amek content orang lepas tu buat paid review mahal nak mampus tu deep .. toooo deeeep. hahahaha

    BalasPadam
  3. Macam tulah jgk persepsi org klau seseorg tu bljr medic atau law. Mesti automatik diorg akn ckp lpas bljr nnti trus jd doktor atau lawyer. Padahal x semestinya pun.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.