Sabtu, 10 Februari 2018

9 Menjaga kemaluan adalah tanggungjawab setiap orang

Sekarang ini dunia komik online semakin meriah. Semakin ramai orang membuat komik dan berkongsi di media sosial. Malah sudah ramai orang yang membuat komik strip yang berbentuk dakwah dan juga kritikan sosial, yang mana ia adalah suatu perkembangan yang baik. Namun, walaupun mesej yang nak disampaikan baik, namun acapkali ia mengundang lebih banyak andaian, kekeliaruan, salah faham dan salah tafsir oleh pembaca, sehingga menyebabkan perbalahan di antara pengkarya-pengkarya komik.

Pada aku membuat komik itu mudah. Semua orang boleh buat komik. Tetapi kalau nak buat komik dakwah atau kritikan sosial, ada kalanya tak cukup untuk diterangkan dalam komik strip 1 muka surat sahaja. Kerana apabila ia melibatkan agama dan ideologi, ia memerlukan penerangan dan penjelasan yang panjang dan ilmiah.


Kalau sekadar letak watak orang tu perli orang ni, orang ni sindir orang tu, ada watak digambarkan dengan terlalu exaggerate, ada watak pula terlalu ekstrimis, lepas tu selit-selit la sikit ayat Al-Quran dan hadis, akhir sekali pembaca tak dapat pun mesej sebenar komik tersebut, sebaliknya hanya mencetuskan perbalahan, pergaduhan, penghinaan, kecaman, ejek mengejek, sindiran, pandang rendah, holier than thou sahaja di ruangan komen, tak guna juga sebab penyampaiannya gagal.

Pengkarya ini ada pandangannya, pengkarya itu ada pandangannya, yang dia tak setuju dengan orang tu, yang orang tu pula tak setuju dengan orang ni, lepas tu berperang dan saling berbalas buat komik. Peminat dan penyokong masing-masing pula dok gelak-gelak dan perlekehkan lawan masing-masing. Semua rasa mereka di pihak benar, semua rasa mereka lebih superior dari pihak yang satu lagi.

Pelukis pulak dari sebuah komik 1 muka surat yang ringkas, terpaksa pula tulis artikel panjang-panjang kat caption untuk menguatkan hujah mereka. Dah tu apa point lukis komik 1 muka surat kalau kau terpaksa tulis penjelasan panjang-panjang untuk menerangkan maksud sebenar komik kau? Last-last tak mencapai matlamat pun. Lebih baik tulis je artikel atau buat komik panjang sikit supaya maksud tu lebih sampai.

Antara contoh komik yang selalu mengundang perbalahan adalah komik tentang aurat, tudung, rogol, gender dan sebagainya. Perbalahan yang takkan ada kesudahan, sebab kalau berbalah pun, kedua-dua pihak dah ada pandangan, pendapat dan pegangan yang tersendiri. Last sekali ia jadi medan mencemuh antara satu sama lain tuduh orang itu liberal, feminis, extremis, wahabi, bla bla bla.


Macam isu aurat dan rogol. Isu ini agak panas dan sering menimbulkan kontroversi dan perbahasan yang panjang di media sosial terutama bila ada orang buat komik pasal ini. Ya, nak buat komik pasal ni memang susah. Kena betul-betul faham dan perhalusi agar ia tidak mendatangkan salah tafsir dari mana-mana pihak lelaki dan perempuan sehingga masing-masing saling menyalah antara satu sama lain.

Pertama sekali, menutup aurat (bukan sekadar tudung) adalah tuntutan agama seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran:
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Ahzaab ayat 59).
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah An-Nuur ayat 31).

Walaupun terdapat pelbagai tafsiran, pandangan dan pendapat di seluruh dunia tentang setakat mana aurat wanita, dan juga lelaki, namun kunci utamanya adalah suruhan menutup aurat ada dalam Al-Quran, malah ditekankan kepada kaum wanita. Oleh itu, kepada orang Islam, ia adalah panduan dan suruhan yang wajib dipatuh. Dan kepatuhan ini adalah untuk Allah, kerana Allah semata-mata, bukan patuh kerana orang lelaki. Orang lelaki jangan nak perasan orang perempuan kena tutup aurat demi mereka.

Begitu juga ayat berikut yang ditujukan untuk orang lelaki:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah An-Nuur ayat 30).

Bila masuk bab suruhan dan larangan Tuhan ini, ikut celah mana pun kau jangan persoal dan pertikai. Mungkin ada orang rasa kenapa dia masih kena kacau orang lelaki walaupun dah pakai tudung tutup aurat semua. Sama juga ada orang rasa kenapa dia masih tak boleh berjaya walau dia solat tiap-tiap hari. Ada orang rasa kenapa dia tak kaya-kaya walau tiap-tiap hari dia bersedekah. Ada orang rasa kenapa dia masih tak dapat apa yang dia mahu walau setiap hari dia berdoa pada Allah. Ada orang rasa kenapa dia masih ditimpa musibah walau rajin baca Al-Quran.

Walau apa pun yang kau hadapi walaupun kau sudah melakukan segala suruhan Tuhan, janganlah sesekali berprasangka pada Tuhan. Segala yang berlaku itu adalah kehendak-Nya, tidak kira yang baik mahupun yang buruk. Jika kita memperoleh rezeki yang baik, bersyukurlah. Jika kita ditimpa musibah, anggaplah ia adalah ujian dan dugaan kita di dunia. Jika kecelakaan itu disebabkan oleh manusia lain, maka ambillah tindakan undang-undang terhadapnya, namun tetap jangan sesekali menyalahkan Tuhan atas apa yang berlaku.

Sekarang tengok balik ayat-ayat Al-Quran di atas tadi. Dalam ayat-ayat ini, dinyatakan lelaki dan juga wanita perlu perlu menyekat pandangan mereka daripada memandang perkara yang haram, serta memelihara kehormatan (kemaluan).

Maka apa maksudnya?


Maksudnya tak kira lah kau lelaki ke, kau perempuan ke, kedua-dua kena sekat pandangan, dan yang paling penting, jaga kemaluan. Memelihara kehormatan ni bukan sekadar kena tutup sahaja, tapi kena kawal kemaluan kau dari zina, melacur atau merogol sesuka hati. Itu yang sepatutnya kita semua tekankan, JAGA KEMALUAN KORANG, sebab kita tak boleh kawal aurat orang lain, tapi kita  boleh kawal kemaluan korang sendiri, faham tak? Ini bukan cerita pasal penjagaan kebersihan kemaluan korang ke apa ye, tetapi menjaga kemaluan korang dari melakukan perkara yang haram dan dilarang agama, dan ia adalah tanggungjawab setiap orang.

Ayat-ayat Al-Quran ini adalah garis panduan untuk menjadi muslim yang beriman. Kalau seseorang itu tak patuh, maksudnya itu keingkaran dia dengan Tuhan. Dosa dia dengan Tuhan. Macam Allah suruh solat, puasa, tutup aurat dan sebagainya, kalau kau tak buat, itu dosa kau dengan Allah bukan dengan manusia.

Kalau ada orang ingkar pun, kita boleh berdakwah dengan dia tapi tak boleh paksa pun sebab kita tak boleh nak kawal manusia. Nabi pun tak boleh nak kawal manusia lain, malah ada yang tak berjaya nak ajak anak dan isterinya ke arah kebenaran, maka siapa kita nak paksa dan kawal-kawal manusia lain. Dakwah itu ajakan, yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil, bukan paksaan dan kawalan, apatah lagi sindiran, kutukan, cemuhan, kecaman dan sebagainya.

Manusia itu ramai dan pelbagai. Manusia wujud dalam berbilang agama, bangsa, negara dan budaya. Malah dalam bangsa dan agama yang sama pun, ada fahaman dan pandangan yang berbeza-beza. Segala hukum Islam adalah untuk orang Islam sahaja. Maka takkan nak expect orang bukan Islam kena pakai tudung? Pergi ke luar negara terutama negara bukan Islam pun, penuh perempuan berpakaian tak tutup aurat dan seksi, tak membolehkan lelaki cabul dan rogol mereka juga. Nak dakwah kepada orang bukan Islam tu dakwahlah, tapi ajak mereka kenal dan peluk agama Islam dulu. Lepas tu barulah ajar tentang ibadah dan hukum semua.

Ini bila ada perempuan kena rogol, ada je orang komen salahkan perempuan tu tak pakai tudunglah, pakai seksi lah. Memang ayat Al-Quran ada menyuruh wanita menutup aurat agar  mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan tidak diganggu, tapi itu adalah garis panduan dan langkah berjaga-jaga kepada perempuan agar tidak diganggu sahaja.

Tapi kalau perempuan tu masih kena ganggu, cabul atau rogol, tak kiralah tutup dia aurat atau tidak, ia tetap salah pengganggu, pencabul dan perogol yang tak pandai jaga kemaluan, sebab kau tidak ada hak pun untuk rogol siapa-siapa. Kalau kau tak nak tundukkan pandangan ke apa, itu masalah kau, tapi kau tetap takde hak nak merogol orang. Ini kalau dah anak sendiri kena rogol bapa, adik kena rogol abang, cucu kena rogol atuk, takkan salah mangsa rogol tak tutup aurat tak pakai tudung lagi?

Pakaian mangsa rogol sebenar yang dipaparkan di sebuah pameran di Brussels, dari pakaian dalam, pakai tak seksi, sampailah pakaian kanak-kanak. Kalau di Malaysia, mungkin baju kurung pun ada dipamerkan sekali.

Bukan tak boleh nak dakwah pasal aurat dan pakaian, tapi mengaitkan dengan isu rogol dan menjadikan ia punca masalah rogol amat tidak sesuai. Orang yang dirogol tu dah la dalam keadaan tertekan, trauma, tak perlu kau nak sekolahkan dia pulak pasal aurat bagai. Pulak kalau mangsa tu budak-budak, atau bukan orang Islam. Tak kena masa dan keadaan. Nak jadi ustaz ustazah pun kena tengok la situasi bukan main kecam letak komen sedas dua pastu tinggal. Trauma mangsa rogol bukan boleh hilang pun dengan komen-komen kau tu.

Bayangkan anologi ini. Kau ada rumah. Kau kunci rumah kau sebagai langkah berjaga-jaga. Kalau perompak masuk, ia salah perompak. Malah kalau kau tak kunci pun, kalau perompak masuk, ia tetap salah perompak, sebab perompak takde hak pun nak masuk rumah dan curi barang kau sama ada kau kunci atau tidak rumah kau. Dia tetap perompak dan penjenayah, dan kau adalah mangsa rompak. Lepas tu orang sekeliling salahkan kau sebab jadi mangsa rompak. Kau dah kena rompak kot, macam la dengan komen-komen orang sekeliling kau, barang kau boleh dapat balik?


Kalau kau yang tak boleh nak tahan nafsu kau sampai membuatkan kau merogol orang, jangan salahkan orang lain. Itu salah kau sendiri. Sama macam bulan puasa kau kena menahan dari lapar dan dahaga. Kalau kau tak boleh tahan tengok makanan depan mata lalu makan senyap-senyap, itu salah kau bukan salah makanan tu. Kalau kau salahkan makanan tu memang kau la yang bodoh.

Bezanya, kau curi makan di bulan puasa itu dosa antara kau dengan Allah. Tapi merogol orang yakni melakukan hubungan badan tanpa persetujuan pihak kedua, itu dosa kau dengan Allah, dan juga manusia yang dirogol, sebab ia melibatkan orang lain. Bila dah melibatkan orang lain, ia dah jadi kes jenayah, dan perogol boleh diklasifikasikan sebagai penjenayah. Malah dalam undang-undang manusia pun, hubungan seks dengan perempuan bawah umur walaupun dengan persetujuan kedua-dua pihak, ia masih diklasifikasikan sebagai rogol.

Ayat Al-Quran pun takde cakap kalau wanita tak tutup aurat pasti kena rogol, atau orang lelaki dibolehkan merogol orang yang tak tutup aurat, atau wanita yang ingkar tak tutup aurat mesti dirogol, atau perempuan harus dipersalahkan apabila lelaki tidak boleh menahan nafsu mereka, maka siapa kau nak pandai-pandai buat kesimpulan perempuan yang kena rogol ni mesti sebab dia tak tutup aurat?

Kalau kau ni dah bernafsu binatang sangat sampai tak tahan nak kawal nafsu kuda kau tu, kau layan la kehormatan kau seorang diri. Sekurang-kurangnya itu dosa kau dengan Tuhan dan tak melibatkan orang lain. Tapi jangan pulak salahkan perempuan lain bila kau buat dosa tu. Itu jalan yang kau sendiri yang pilih. Sampai bila asyik nak salahkan orang lain atas kebodohan diri sendiri, ye tak?


Benda ni sebenarnya simple je, orang je yang gagal nak faham atau buat-buat tak faham sebab ego, sebab dia rasa kaum dia superior. Sebab tu juga aku tulis panjang-panjang. Kalau lukis komik satu  mukasurat mesti orang takkan faham. Tapi yelah, bila aku tulis panjang-panjang pun, orang cakap TL:DR, suruh lukis. Lantak korang lah.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: komik 1 muka gaduh balah perang comic war rogol aurat tudung siapa salah mangsa pemangsa

9 ulasan:

  1. Ok²...kesimpulanya jagalah kemaluan masing²😄😅😂😃..zina tu senang,kahwin yg susah..tak gitu noob..panjang lebar posting kali nii..📃📄📈📉

    BalasPadam
    Balasan
    1. dah jarang update. sekali sekala update kenalah tulis panjang sikit.

      Padam
    2. Ok..mana pergi admin yg lain..senyap jerr..1 hari 4 atau 5 kali aku singgah sini..kira oklah darii xde entry..plain83 takkn skodeng jerr tak nk komen kerr..selalu kalau bab comic nii cpt jerr komen..seriously mana ko nii..✌🐌🐛🐜🐝🐞

      Padam
  2. terbaik la noob.. skrg nie org lebih bnyk menghukum daripada membimbing..

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.