Rabu, 30 Disember 2015

11 Sebuah kisah paling korup: Terkorup Tanpa Sengaja

Sinopsis cerita: Terkorup Tanpa Sengaja

Bolnoland merupakan sebuah negara yang sudah hampir 100 tahun mencapai kemerdekaan namun masih lagi tidak mencapai tahap pembangunan dan kemajuan yang sepatutnya, malah negara jirannya iaitu Enetkhegland yang 50 tahun lepas lebih mundur kini telah jauh meninggalkan Bolnoland malah telah pun berjaya mencapai status negara maju manakala Bolnoland masih kekal sebagai negara membangun dunia ketiga selama 80 tahun.

Semua ini disebabkan oleh masalah korupsi yang sudah pun menjadi budaya yang tidak dapat dibendung. Rasuah, salahguna kuasa, kronisme, penipuan, segala cabang korupsi telah pun menjadi amalan biasa. Dari yang paling tinggi hingga yang paling rendah, atas bawah kiri kanan habis disebat. Walaupun majoriti rakyat negara Bolnoland mempunyai agama, namun ramai yang telah pun bertuhankan duit dan berkiblatkan pangkat.


Bidin, seorang eksekutif muda baru sahaja dinaikkan pangkat menjadi pengarah projek di tempat kerjanya oleh pengarah syarikat Mekhlegch Berhad. iaitu Tuan Kadir atas usaha dan jasanya memenangi sebuah tender pembinaan sekolah yang bernilai RM60 juta. Bidin sudah mula membayangkan masa depannya yang cerah di syarikat itu serta kehidupannya bakal menjadi lebih sempurna. Tuan Kadir pula baru sahaja membeli kereta Pagani Zonda model terbaru sebaik sahaja projek tersebut telah dianugerahkan kepada syarikatnya.
Namun disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Projek belum pun bermula lagi, syarikat tempat Bidin bekerja telah mendapat sepucuk surat daripada kerajaan Bolnoland yang mengarahkan projek pembinaan sekolah ini dibangunkan secara usahasama dengan sebuah syarikat lain iaitu Tukhai Salkhi Berhad. Mahu tidak mahu, syarikat Mekhlegch Berhad terpaksa akur dengan arahan tersebut.

Dalam mesyuarat pertama antara syarikat Mekhlegch Berhad dan Tukhai Salkhi Berhad, pihak pengurusan kedua-dua syarikat telah bersetuju untuk membahagikan nilai tender tersebut sebanyak 50%-50% setiap syarikat. Ini bermakna setiap syarikat akan mendapat RM30 juta untuk menyiapkan sekolah tersebut.

Akan tetapi sepanjang projek berjalan, hanya syarikat Mekhlegch Berhad yang terlibat dalam proses pembinaan manakala tidak nampak seorang pun kakitangan atau pekerja daripada syarikat Tukhai Salkhi Berhad berada di tapak pembinaan mahupun di pejabat. Sebagai pengarah projek, Bidin menjadi cemas kerana banyak rancangan telah tertangguh dan kerja tertunda tidak mengikut jadual akibat kekurangan pekerja, bahan mentah dan bajet.

Sudah puas Bidin membangkitkan masalah ini kepada Tuan Kadir, namun Tuan Kadir menyuruh Bidin mencari jalan dan menyiapkan juga projek ini walau apa pun yang berlaku jika tidak mahu kehilangan jawatannya. Pernah juga Bidin bertanyakan tentang tugas dan motif syarikat Tukhai Salkhi Berhad bekerjasama dengan syarikat mereka namun dimarah dan diberi amaran oleh Tuan Kadir untuk tidak masuk campur urusan pentadbiran syarikat.

Kerana tidak berpuas hati, Bidin cuba mencari maklumat tentang syarikat Tukhai Salkhi Berhad di Internet dan mendapati syarikat tersebut bukanlah sebuah syarikat pembinaan sebaliknya sebuah syarikat pelaburan yang dimiliki oleh anak salah seorang menteri kerajaan Bolnoland dengan jumlah pekerja hanya 3 orang! RM30 juta itu masuk ke dalam kantung syarikat Tukhai Salkhi Berhad tanpa mereka perlu buat apa-apa!

Bidin menjadi semakin buntu. Projek sekolah ini semakin lama menjadi semakin lambat. Pekerja pembinaan yang lama dan berpengalaman kebanyakannya semua sudah lari kerana sudah beberapa bulan tidak dibayar gaji. Besi, simen, batu bata, konkrit dan bahan-bahan mentah lain yang digunakan semuanya berkualiti rendah dan murah tidak mengikut spesifikasi asal akibat kekurangan duit. Tuan Kadir pula sering menyalahkan Bidin dan menjadikannya sebagai kambing hitam akibat segala permasalahan dan kegagalan projek ini.

Maka apakah nasib Bidin? Bagaimanakah Bidin mencari penyelesaian dan jalan keluar terhadap belenggu masalah yang bakal menggelapkan masa depan Bidin? Mampukah Bidin untuk terus bertahan di negara Bolnoland yang telah lama bergelumang dengan najis korupsi? Adakah negara Bolnoland masih ada harapan?

* * * * * * * * * *

Adakah anda rasa cerita fiksyen yang sangat korup lagi kekorupan yang penuh dengan korupsi dan bapak segala korupsi ini dapat dijadikan drama mahupun filem walaupun ia penuh sarat dengan pengajaran? Btw cerita ini tiada kaitan dengan Malaysia mahupun mana2 negara, cuma fiksyen dan rekaan semata-mata.




tags: sinopsis cerita kisah korup korupsi tanpa sengaja drama filem novel cerpen

11 ulasan:

  1. Tak terkejut pasal cite ni.....tp xde la direct sgt company yg joint venture mempunyai direct nama dgn anak VVIP..selalu akan pusing2, maybe letak nama kawan baik atau nama anak sedara..pas2 leh direct payment to VVIP.

    Sy dah biasa sgt tgk situasi ni..maybe x seteruk ni lagi. Tp konsep bocor sana sini memang selalu terjadi.

    Tp ramai x tau, beza kontraktor M dan C dalam kes ini ada bezanya...

    Kalau kontraktor M, kebocoran untung tetap ada, tp outcome projek mcm hempeh atau kelam kabut. Kalau kontraktor C, bocor mcmana pun outcome tetap tip top...in other words kualiti kerje xleh digadaikan.

    Sbb 2 byk org kita jenis malas, nak untung cepat tp xnak usaha...kaum lain even nak untung tp kualiti kerje tetap bagus. Tgk after sales service cukup la..sbb 2 kdg2 kita x kisah charge mahal tp kualiti ok, tp kalau bayar murah tp kualiti mcm taik kucing, baik xyah ambil langsung.

    X semua mcm ni, ada yg jujur sbnrnya..cuma x byk.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Setuju. M buat kerja macam haprak. Caj pula berlebihan. Kalau kontrak buat rumah tu selalu kena pergi pantau supaya simennya tak dikurangkan (pasir jer lebih). Kalau tak sekejap sahajalah pecah habis simen tu.

      M tidak ada budaya kualiti. Kalau berniaga kononnya mahu ikut sunnah rasul, tetapi tidak berniaga sebagaimana rasulullah berniaga. Untung atas angin dan untung berlebihan jadi kejaran. Tengok jualan tudung wanita sebagai contoh. Modal berapa sahaja tetapi jual sampai beratus2. Ini atas nama agama. Muslimah katanya.

      Padam
  2. setuju ...... ramai yang lupa.....bumi yang mereka pijak bukan kepunyaan mereka....mereka di beri amanah sahaja....itu pun untuk sementara waktu.....fikir fikirkan lah heheheheh

    BalasPadam
  3. fuh, nasib baik cerita ni bukan kat malaysia..risau betul aku..

    BalasPadam
  4. Ini realiti kehidupan.
    Kalau nak dijadikan drama, sure stesen TV taknak amik sebab katanya "market tak nak cerita camni, market nak cerita sweet-sweet kahwin paksa anak datuk hero hensem sasa senyum senget"

    Kebocoran memang ada, tapi sebab ianya boleh berleluasa ialah bila ada kebocoran, ada pihak yg berkuasa besar akan back up tutup, yang lemah dikambinghitam.

    Persoalannya, sampai bila?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau kontrak gov...even bocor teruk mcmana pun x berani nak ambil tindakan sbb sure masuk media, lg busuk nama gov...so pandai2 kaw team melainkan dah smpi jd viral mmg xleh nak ttup lubang.

      Kalau kontrak swasta biasa, bocor ni mmg standard, bergantung kepada iman masing2...berapa byk ambik pun kalau pandai cover, kalau Allah nak tunjuk kasi pecah lubang, nak ttup muka pun x tau mcmana, confirm kena kickout.

      So, tepuk dada tanya iman.

      Padam
  5. terjadi tempat aku (namakan Planet Jakku)

    1.Projek - Buat dewan /auditorium. Masa penilaian tender, tetiba ada arahan dari pihak Empire yang mengarahkan projek tersebut diberikan pada syarikat Darth Sidius. Bila diperiksa, syarikat Darth Sidius tu bersahabat baik dengan Darth Maul dan juga Snooke. Syarikat yang masuk tender tu yang harga mengikut pasaran, terus dibuang.

    Bila dah siap, selepas setahun (masih dalam jaminan projek)ada masalah dengan struktur bumbung (seperti yang terjadi di bangunan2 baru kerajaan). Bila Presiden planet Jakku datang dan call Darth Sidius (main contractor), Darth Sidius dengan mudahnya bercakap dengan presiden JAkku -" itu bukan masalah saya..awak deal la dengan syarikat sub con tu...itu derang yang buat kerja tu"


    2. Projek naik taraf bangunan. Main contractor - Syarikat Chewbacca Ent. dapat projek tu dengan peruntukkan yang sangat minimum. Untuk pendawaian elektrik, Chewbacca bagi la pada syarikat Ewoks Berjaya Ent. Syarikat Ewoks pada mulanya agak berat untuk terima kerja ini tapi memandangkan mereka 2-3 bulan tiada projek, maka terima la juga. Kerja yang dibuat tidak semenggah mana. Tiba-tiba, pekerja syarikat ewoks Berjaya ni makin kurang...dari 3 orang, datangnya 2...kemudian tinggal 1....lepas seminggu tiada yang datang langsung. tempat kerja dibiarkan begitu sahaja.

    Setelah hubungi Chewbacca Ent, mereka terkejut. Mereka hubungi Ewoks Berjaya berkaitan kerja ini....gagal. Sebabnya syarikat Ewoks Berjaya dapat kontrak tukar mentol lampu di Tattoine Universe Tradng Center. Kerja pendawaian di Jakku dibiarkan begitu saja dengan wayar terjuntai, soket lopong.

    Mujur Chewbacca ni bertanggungjawab. dia segera cari yang lain supaya projek dapat disiapkan dengan segera. Han Solo (wireman part time #2kerja) diupah untuk siapkan wiring.

    BalasPadam
    Balasan
    1. jalan cite memang epik...nasib baik kay planet Jakku, bukan kat bumi kita...

      Padam
  6. Resign jer. Yg dok keje situ lg tu pasal apa.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jgn ckp resign...nak pindah negara pun ada. Baik jual kuih pau lebih baik, xde rasuah even untung kecil.

      Padam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.